IMPLIKASI OPSYEN UNTUK BERSARA APABILA MENCAPAI UMUR 58 TAHUN
Pemakaian undang-undang pencen dan peraturan-peraturan lain
1. Sepanjang tempoh perkhidmatan selepas mencapai umur 55/56 tahun, seseorang anggota yang membuat opsyen untuk berkhidmat sehingga mencapai umur 58 tahun adalah terus tertakluk kepada Undang-Undang Pencen serta Perintah Am, Peraturan Perkhidmatan, Skim Perkhidmatan, Pekeliling Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perkhidmatan dan arahan-arahan lain yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.
Pengambilan kira tempoh perkhidmatan
2. Bagi anggota di bawah Skim Pencen, tempoh perkhidmatannya sehingga mencapai umur 58 tahun adalah dimasuk kira bagi perkiraan faedah-faedah persaraan, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta 227 atau Akta 239, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Persaraan awal
3. Anggota yang telah membuat opsyen untuk bersara wajib apabila mencapai umur 58 tahun masih boleh dikehendaki bersara awal atas kehendak Kerajaan pada bila-bila masa di bawah peruntukan-peruntukan Akta 227 atau Akta 239. Anggota itu juga boleh memohon bersara secara pilihan sebelum mencapai umur 58 tahun di bawah undang-undang yang sama.
Permulaan pemberian pencen berkaitan persaraan pilihan
4. Bagi anggota yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 dan kemudiannya diluluskan persaraan pilihan, ganjaran dan pemberian wang tunai gantian cuti rehat (GCR) diberi ketika bersara tetapi pencen akan mula diberi apabila mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan atau lantikan, iaitu sama ada 55 tahun atau 56 tahun atau 58 tahun. Anggota yang dilantik sebelum 12 April 1991 yang bersara pilihan layak diberi pencen apabila mencapai umur 45 tahun (bagi perempuan) atau 50 tahun (bagi lelaki).
Pemberian faedah persaraan berkaitan dengan persaraan setelah dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru
5. Bagi pegawai tetap yang dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru dan bersara di bawah Seksyen 12A Akta 227, faedah persaraan (ganjaran, GCR dan pencen) akan dibayar seperti berikut :-
(i) Sekiranya dilantik dalam perkhidmatan awam sebelum 16 Mei 1986, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 45 tahun (perempuan) atau 50 tahun (lelaki) atau pada umur 55/56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih;
(ii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 16 Mei 1986, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 55/56/58 tahun mengikut umur persaraan wajib yang dipilih; dan
(iii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 56/58 tahun mengikut umur persaraan wajib yang dipilih.
6. Bagi pekerja tetap yang dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru selepas berkuat kuasanya pindaan ini dan bersara di bawah Seksyen 13 Akta 239 :-
(i) Sekiranya dilantik dalam perkhidmatan Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun atau Tempatan sebelum 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 55/56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih; dan
(ii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih.
Penggantungan pencen yang diberi kepada anggota yang dibersarakan atas alasan kepentingan negara
Bagi anggota yang dibersarakan atas alasan kepentingan negara di bawah Seksyen 11 (a) (i) atau 11 (b)
(i) Akta 227 atau 11 (a) Akta 239 dan dalam tempoh 5 tahun persaraannya melibatkan dirinya dalam apa-apa aktiviti yang mungkin bercanggah dengan tujuan ia disarakan, pencennya boleh digantung seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta 227 atau Seksyen 26 Akta 239 sehingga
beliau mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan iaitu sama ada 55/56/58 tahun.
PELAKSANAAN
Anggota Yang Layak Ditawarkan Opsyen
1. Opsyen diberi kepada anggota tetap yang sedang berkhidmat yang akan mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan atau lantikan, iaitu sama ada 55 tahun atau 56 tahun pada atau selepas 1 Julai 2008. Sebagai penjelasan, hanya anggota yang berada dalam perkhidmatan pada 30 Jun 2008 boleh ditawarkan opsyen ini.
2. “Anggota tetap” yang dimaksudkan adalah termasuk anggota yang sedang :-
(i) dalam tempoh percubaan;
(ii) dipinjamkan;
(iii) dalam pertukaran sementara;
(iv) bercuti tanpa gaji;
(v) bercuti belajar atau berkursus;
(vi) dalam tindakan tatatertib yang belum berkeputusan muktamad anggota itu dibuang kerja;
(vii) tertakluk sama ada kepada Skim Pencen atau Skim KWSP; dan
(viii) berkhidmat di agensi Kerajaan berasaskan Sistem Saraan yang diasingkan dan pemberian faedah persaraannya adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 6B, 6C dan 6D, atau 6E, 6F dan 6G Akta 239.
3. Tarikh lahir yang diiktiraf bagi urusan penetapan umur persaraan wajib ialah tarikh lahir yang dicatat dalam Buku Rekod Perkhidmatan anggota. Sebarang pindaan tarikh lahir dalam Buku Rekod Perkhidmatan hendaklah dilakukan berasaskan syarat-syarat di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2002.
Sila hubungi kami jika ada sebarang pertanyaan.
ReplyDeleteTerima Kasih.