Objektif Program Transformasi Minda (PTM) adalah untuk:
(a) memberi pendedahan kepada pegawai mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran kerajaan serta peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam;
(b) memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotisme pegawai supaya lebih berketerampilan dan berkemampuan menyesuaikan diri dalam perkhidmatan awam;
(c) menerapkan nilai budaya kerja cemerlang agar pegawai dapat memberikan penyampaian perkhidmatan dengan cekap serta berkesan; dan
(d) menyediakan pegawai dengan minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah negara maju.
PEGAWAI YANG DISYARATKAN
1. Pegawai yang disyaratkan mengikuti PTM adalah:
(a) pegawai lantikan pertama pada atau selepas 1 Januari 2013 yang berkhidmat secara tetap dalam Perkhidmatan Awam; dan
(b) pegawai dalam tempoh percubaan dan belum menghadiri Kursus Induksi - Modul Umum.
PENGECUALIAN MENGHADIRI PTM
1. Pegawai yang sedang berkhidmat yang kemudiannya dilantik ke skim perkhidmatan atau perkhidmatan lain dikecualikan daripada menghadiri PTM dengan syarat:
(a) hadir dengan jaya PTM; atau
(b) hadir dengan jaya Kursus Induksi - Modul Umum; atau
(c) lulus Peperiksaan Am Kerajaan di skim perkhidmatan terdahulu.
2. Pengecualian ini boleh diberikan oleh Pengurus Sumber Manusia Kementerian/Jabatan/Agensi tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pengecualian tersebut hendaklah direkodkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai sebagai “Pegawai Dikecualikan Daripada PTM kerana telah Hadir Dengan Jaya PTM/Hadir Dengan Jaya Kursus Induksi-Modul Umum/lulus Peperiksaan Am Kerajaan” bagi memastikan urusan pengesahan dalam perkhidmatan barunya dibuat dengan teratur.
PELAKSANAAN PTM
1. Kerangka Kurikulum PTM ini terbahagi kepada tiga (3) segmen utama, iaitu:
(a) Segmen I : Negara dan Perkhidmatan Awam;
(b) Segmen II : Tanggungjawab dan Peranan Pegawai; dan
(c) Segmen III : Budaya Kerja Kelas Pertama.
2. Pelaksanaan PTM adalah selama lima (5) hari dan dilaksanakan oleh Kementerian/Jabatan/Agensi. Contoh jadual pelaksanaan adalah seperti di Lampiran B. Pelaksanaan PTM ini boleh dibuat tanpa mengira kumpulan perkhidmatan/gred jawatan atau dibuat secara berasingan mengikut kesesuaian Kementerian/Jabatan/Agensi.
3. Skim perkhidmatan yang mensyaratkan Kursus Asas atau Pra-Perkhidmatan kepada pegawai lantikan baru boleh mengintegrasikan kurikulum PTM dalam Kursus Asas atau Pra-Perkhidmatan tersebut.
4. Kementerian/Jabatan/Agensi yang tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan PTM atas sebab-sebab tertentu boleh menumpangkan pegawainya untuk menghadiri PTM di Kementerian/Jabatan/Agensi lain tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
(a) urusan penumpangan dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang menumpang dan menerima pegawai sebagai pegawai tumpangan;
(b) Sijil PTM yang dikeluarkan oleh Kementerian/Jabatan/Agensi yang melaksanakan program tersebut hendaklah diterima pakai bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan; dan
(c) sekiranya Kementerian/Jabatan/Agensi yang menerima pegawai sebagai pegawai tumpangan mengenakan bayaran pengurusan, kadar yang dikenakan hendaklah munasabah dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
5. PTM dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti latihan dalam kumpulan (LDK), sesi interaktif, perbincangan kumpulan, perbincangan kes, kuiz, e-Pembelajaran, ujian psikometrik atau kaedah lain yang bersesuaian yang dipersetujui oleh Panel Pengurusan PTM di Kementerian/Jabatan/Agensi masing-masing.
6. Penilaian PTM dibuat secara penilaian sepanjang program berdasarkan kepada aktiviti dan kriteria penilaian yang ditetapkan.
7. Pegawai yang mengikuti PTM sepenuhnya dan berjaya berasaskan penilaian yang dibuat layak diberikan sijil PTM. Keputusan “Hadir Dengan Jaya PTM” hendaklah direkodkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai yang berkenaan.
8. Memandangkan kurikulum PTM tidak merangkumi skop fungsi Kementerian/Jabatan/Agensi, Ketua Jabatan di mana pegawai ditempatkan adalah digalakkan untuk mengadakan sesi penerangan berasingan mengenai Kementerian/Jabatan/Agensi kepada pegawai berkenaan.
PANEL PENGURUSAN PTM
Tanggungjawab Panel Pengurusan PTM adalah seperti berikut:
(a) menetapkan kaedah pelaksanaan program yang bersesuaian;
(b) menimbang dan mengesahkan laporan kehadiran dan laporan penilaian sepanjang program bagi setiap pegawai yang menghadiri PTM;
(c) menimbangkan kebenaran mengulang bagi pegawai yang tidak melengkapkan PTM tertakluk kepada tempoh percubaan pegawai;
(d) mengeluarkan dan memperakukan sijil kehadiran kepada pegawai yang telah hadir dengan jaya PTM; dan
(e) menimbangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan PTM.
PEGAWAI YANG GAGAL PTM
Pegawai yang gagal PTM disebabkan masalah disiplin dan komitmen tidak dibenarkan mengulang semula PTM dan boleh ditamatkan perkhidmatannya.
KAWALAN PIAWAIAN
JPA akan memantau dan mengadakan naziran dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan PTM selaras dengan dasar yang berkuat kuasa.
Sila hubungi kami jika ada sebarang pertanyaan.
ReplyDeleteTerima Kasih.